Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.
Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Rizal Mansor hari ini berhadapan dengan empat pertuduhan menerima suapan membantu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hybrid solar di sekolah -sekolah di Sarawak.

Pertuduhan terhadapnya melibatkan perlakuan meminta suapan bagi pihak Rosmah, meminta rasuah bagi dirinya, menerima rasuah bagi pihak isteri bekas Perdana Menteri itu dan menerima suapan kerana melancarkan proses mendapatkan projek itu kepada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika didapati bersalah bagi setiap pertuduhan boleh dipenjaran tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Selepas dibacakan kesemua pertuduhan Rizal mengaku tidak bersalah dan diminta untuk dibicarakan.

Hakim Rozina Ayub menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM1 juta dibayar dua kali iaitu RM500,000 hari ini manakala bakinya akan dilangsaikan pada 22 November.

Rizal diwakili oleh peguam belanya Ridha Abdah Subri selain itu akur dengan arahan mahkamah agar beliau mengembalikan passportnya.

Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 29 November untuk sebutan semula kes. -MalaysiaGazette