Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini menamatkan perkhidmatan seorang ketua jabatan di hospital awam di Sungai Buloh berhubung dakwaan salah laku seksual terhadap 38 individu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berikutan laporan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas setelah selesai membuat siasatan terhadap kes berkenaan.

“Keputusan daripada hasil perbincangan di antara pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) telah diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk menamatkan perkhidmatan ketua jabatan berkenaan berkuat kuasa pada 14 November 2018,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Dr Zulkefly, laporan lengkap siasatan Jawatankuasa Siasatan Khas itu telah diserahkan kepada JPA pada 24 oktober 2018 sebelum pihak JPA mengadakan perbincangan dengan AGC.

Surat penamatan perkhidmatan itu telah disampaikan kepada tertuduh pada 15 November 2018.

September lalu, ketua jabatan itu didakwa melakukan gangguan seksual ke atas individu termasuk doktor pelatih dan digantung tugas selama dua bulan. – MalaysiaGazette