Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberi Ucapan Dasar Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – PKR perlu membuktikan bahawa pilihan rakyat memilih parti itu bukan suatu kesilapan, kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menyampaikan ucapan dasar untuk kali yang terakhir sebagai presiden parti itu, beliau berkata, PKR perlu menggunakan pendekatan yang lain daripada parti yang pernah memimpin sebelum ini.

“Apa yang ingin saya tegaskan dalam ucapan terakhir ini adalah kita pejuang reformasi harus berbeza dari rejim yang kita tentang dulu (BN).

“Pendekatan dan amalan harus ada kelainan dan dilihat lebih baik dari yang dulu. Jangan sampai rakyat menempelak “ah…sama saja dengan yang dulu…”

“Jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini.

“Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat menyokong kita adalah tepat, buktikan kita mampu melaksanakan amanah dengan berkesan dan rakyat merasai kehadiran setiap kita dalam masyarakat,” katanya penuh emosi ketika merasmikan Kongres PKR 2018 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan Presiden PKR selepas ini apabila suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menggantikannya, Wan Azizah yakin sokongan terhadapnya tetap kekal.

“Saya sentiasa redha dengan segala ketentuan Ilahi. Saya penuh yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan ianya terjadi didalam perancanganNya.

“Saya sedikit emosi kerana ini adalah kali terakhir saya berucap tapi saya tahu masih ada lagi sokongan,” ujarnya.

Wan Azizah turut mengingatkan kedudukan yang diraih PKR hari ini sebagai ujian untuk membuktikan bahawa pangkat dan kuasa tidak mengaburi parti yang kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan hari ini.

“Ingatlah kuasa, pangkat dan kedudukan ini adalah ujian untuk kita yang berada di puncak,” katanya lagi. -Malaysiagazette