PORT MORESBY, Papua New Guinea – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerjasama yang lebih adil dan nyata antara negara maju dan membangun dapat membantu negara anggota APEC menghadapi perubahan.

Beliau menegaskan bahawa hanya dengan konsep ‘menang-menang’ dalam kalangan anggota APEC membolehkan rantau itu merangka masa depan bersama dan inklusif dalam era perubahan.

“Kita telah pergi terlalu jauh dalam integrasi ekonomi dan perdagangan bebas untuk meninggalkannya dalam era perubahan ini. Apa yang kita boleh lakukan ialah menyesuaikannya dan dari situ membentuk kerjasama dan perjanjian baharu untuk memenuhi perubahan itu,” katanya.

Dalam ucapan pada Sidang Kemuncak CEO APEC pada Sabtu, beliau berkata: “Apa yang membimbangkan ialah bukan strategi tetapi kepantasan yang diperlukan untuk dilaksanakan supaya berkesan. Ia masih perkara baharu, kebanyakannya masih belum dirundingkan.”

Dr Mahathir, yang memulakan jadual padat untuk lawatan rasmi beliau selama dua hari di sini sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC, berkata APEC juga perlu menghadapi perubahan ini, jika tidak ia akan menjadi tidak relevan.

Pada sesi selama 30 minit yang diadakan di kapal persiaran Pacific Explorer, beliau berkata kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan yang inklusif dan saksama untuk mencapai matlamat negara bersatu.

“Kami mahu memastikan bahawa setiap rakyat di Malaysia menikmati kemakmuran bersama,” katanya, sambil menambah APEC juga perlu menggalakkan konsep kemakmuran bersama dalam kalangan negara anggota.

“Saya percaya kita perlu memberi manfaat kepada jiran kita dan bukannya membiarkan mereka meminta-minta.”- BERNAMA