Mohd Ali Baharom.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini kecoh permohonan Ali Tinju untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditolak.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penolakan borang Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Baharom kerana pemimpin NGO itu tidak ada prinsip.

Menurut Ali, penolakan PPBM itu sudah dijangka tetapi parti itu didakwa sudah terkena ‘perangkap’ kerana membuktikan mereka sebenarnya parti yang jumud dan tidak terbuka.

“Ini terbukti PPBM tidak ada keterbukaan bukan seperti yang mereka laungkan sebelum ini. Mereka sebenar takut pada bayang-bayang sendiri,” ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Selain bukti PPBM tidak terbuka, tindakannya itu juga menyebabkan pemimpin UMNO yang berhasrat menyertai PPBM sekarang berada dalam dilema untuk menyertai parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Baru-baru ini bekas Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pun takut menyertai parti dalam Pakatan Harapan kerana bimbang permohonannya ditolak.

“Sebenarnya kalau cakap soal prinsip ramai pemimpin PPBM juga tidak ada prinsip. Dulu mereka hentam DAP sekarang cium mulut. Dulu dikaitkan dengan kes mahkamah kini dilihat bersih,” tegasnya lagi.

Seperti contoh, menurut Ali, Ahli Pimpinan Tertinggi PPBM, Zahid Mat Arip pernah dikaitkan dengan kes pembelian hotel yang dilakukan Felda Investment Corporation di Kuching, Sarawak.

Zahid, juga kata Ali, bekas pemimpin kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) tetapi kini bersama dengan Anwar dalam kerajaan.

“Begitu juga dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang dulu mengecam habis-habisan DAP semasa dalam Perkasa tetapi kini jadi rakan baik DAP,” katanya.

Berbanding dengannya, Ali mendakwa penentangannya bersama NGO kepada Bersih dan isu Low Yatt semata-mata demi memartabatkan orang Melayu.

Dalam masa yang sama, Ali juga mempersoalkan prinsip PPBM pula termasuk Muhyiddin khususnya dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Mana prinsip Muhyiddin sendiri dan sanggup bersekongkol dengan Hindraf dan DAP mempertikaikan hak orang-orang Melayu di bumi sendiri?

“Kalau betul ada prinsip segera tinggalkan Hindraf dan DAP dalam PH. Pemimpin DAP baru menang tiga empat bulan pun sudah berani bersuara dalam Parlimen dakwa Melayu pendatang.

“Kenapa Presiden PPBM ? Kenapa diam isu yang dimainkan oleh DAP?” soalnya.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, menurut Ali, kenapa Muhyiddin tidak mengambil tindakan terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy yang membangkitkan isu ICERD sedangkan ia boleh menimbulkan ketegangan kaum.- MalaysiaGazette

Ali Tinju sama macam Jamal ‘jamban’ – Muhyiddin