KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendesak Senator P. Waytha Moorthy membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam kepada seluruh rakyat negara ini.
Desakan itu dibuat oleh Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa dan Tugas-Tugas Khas Armada, Mohd Muzzammil Ismail yang menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berbaur fitnah.
Katanya, Waytha Moorthy yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu wajar menarik balik segala kenyataan fitnah ketika menghadiri satu seminar dengan Ahli-Ahli Parlimen Belanda di Eropah pada 2011.
“Biro Perhubungan Antarabangsa Armada memandang berat kenyataan P. Waytha Moorthy ketika beliau menghadiri seminar Eropah tujuh tahun lalu.
“Susulan video temubual berdurasi 2 minit 39 saat yang ditularkan itu, telah mendatangkan kontroversi, kerana apa yang telah diperkatakan telah menggambarkan wujudnya pencabulan hak asasi yang kronik kepada kaum dan penganut agama lain terutama India beragama Hindu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan balas kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf yang memburuk-burukkan Malaysia di negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berbaur fitnah, menggambarkan seolah negara ini menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum serta penganut agama lain.
Dalam kenyataan itu, Waytha Moorthy antara lain mendakwa orang India yang beragama Hindu dipaksa masuk Islam hanya kerana mahu bekerja di sektor awam kerajaan dan kira-kira 10,000 kuil telah dimusnahkan, anak-anak cemerlang kaum India dinafikan hak untuk belajar dan mendapat biasiswa di universiti awam malaysia, dan berbilion telah dibelanjakan hanya untuk menaikkan ekonomi orang Melayu.
Menurut Mohd Muzzammil, semua tuduhan itu sangat tidak berasas dan merupakan suatu pembohongan.
Katanya, semakan Armada selepas 24 jam penularan video tersebut, Menteri berkenaan masih tidak membuat sebarang kenyataan balas untuk menjernihkan keadaan dan perkara itu dilihat menjejaskan keharmonian antara kaum dalam negara, selain membuka ruang negara kehilangan kredibiliti di peringkat antarabangsa.
Justeru, tegas beliau, Biro Perhubungan Antarabangsa Armada mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi yang kronik seperti didakwa itu.
Ujarnya, sebarang kenyataan berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak lagi boleh dikeluarkan oleh Waytha Moorthy kerana hanya akan mengundang provokasi dan krisis keyakinan rakyat kepada kerajaan PH.
“Kepimpinan Armada PPBM keseluruhannya memandang serius polemik sentimen perkauman dan akan berusaha mempertahankan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebaik mungkin terutama perkara melibatkan kemuliaan Islam dan keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette
















