Kenyataannya berhubung ratifikasikan ICERD mencetuskan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera.
Kenyataannya berhubung ratifikasikan ICERD mencetuskan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera.

KUALA LUMPUR – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menuntut pelucutan jawatan Senator P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu yang mempunyai ahli berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum dan pendirian politik itu membuat tuntutan itu atas alasan Waytha Moorthy telah memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, Menteri itu telah menyebarkan fitnah kononnya rakyat Malaysia beragama Hindu telah didiskriminasi kerana perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam serta rumah ibadat mereka telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak berkuasa negara ini.

“Kami selaku rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, latar belakang serta pendirian politik menuntut perlucutan jawatan P. Waytha sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Senator Dewan Negara.

“Selain itu, dia juga berkeras mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghaousan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atas kapasitinya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun mendapat tentangan hebat daripada kaum Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan di sini, hati ini.

Menurut GPS lagi, P. Waytha juga gagal mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Menteri itu juga katanya, mempunyai latar belakang yang agak kontroversial seperti pernah menyertai perhimpunan haram Hindraf 2007 dan pasport antarabangsanya dibatalkan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Dia turut mempunyai kepentingan dengan pemimpin Hindraf yang pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memecat P. Waytha sebagai menteri demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta latar belakang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast