KUALA LUMPUR – Malaysia menduduki tempat ke-22 daripada 63 ekonomi dalam Ranking Bakat Dunia IMD 2018, memperbaiki enam anak tangga berbanding tempat ke-28 tahun lalu.

Di peringkat Asia, Malaysia berada pada kedudukan ketiga di belakang Singapura yang berada pada kedudukan ke-13 dan Hong Kong ke-18.

Switzerland diumumkan berada di tempat pertama dan Denmark di tempat kedua untuk tahun kelima berturut-turut, diikuti oleh Norway, Austria dan Belanda.

Norway berada di tiga teratas, naik empat tangga dari tahun lepas, ekoran peningkatan perbelanjaan awam ke atas pendidikan dan kesediaan kumpulan bakatnya.

Kanada (ke-6), Finland (ke-7), Sweden (ke-8), Luxembourg (ke-9), dan Jerman (ke-10).

Kedudukan bakat ini menilai bagaimana 63 ekonomi membangun, menarik dan mengekalkan profesional berkemahiran tinggi. Penilaian ini dilakukan sejak tahun 2014.

Pengarag IMD World Competitiveness Centre, Arturo Bris berkata, memupuk tenaga kerja mahir dan berpelajaran adalah penting untuk mengukuhkan daya saing dan mencapai kemakmuran jangka panjang, terutamanya dalam landskap dinamik semasa, yang mana kecerdasan buatan, robotik dan teknologi baru yang lain sentiasa mentakrifkan semula cabaran yang akan dihadapi oleh kerajaan, perniagaan dan masyarakat pada umumnya masa depan.

Laporan itu berkata, Singapura dan Hong Kong meneruskan kecemerlangan dalam mengetengahkan kumpulan bakat antarabangsa.

Manakala Malaysia menumpukan kepada pelaburan dalam pendidikan untuk membangunkan tenaga kerja mahir tempatan.

Taiwan yang berada di tempat ke-27 memberi keutamaan kepada daya tarikan dan pengekalan bakat sementara, peningkatan Jepun ke-29 disebabkan ketersediaan pekerja mahir dan keberkesanan sistem pendidikan.

Manakala Korea Selatan yang berada pada tempat ke-33 menyaksikan peningkatan perbelanjaan kerajaan terhadap pendidikan dan peningkatan pelaksanaan program perantisan dan latihan pekerja.

China pula di tempat ke-39 berada di separuh kedua ranking, kerana kesukarannya menarik pekerja mahir asing dipasangkan dengan tahap perbelanjaan awam dalam pendidikan yang berada di bawah purata ekonomi maju yang lain.

Kazakhstan (ke-40) dan Thailand (ke-42) juga jatuh pada separuh kedua ranking itu, sebahagiannya kerana prestasi mereka dalam kesediaan bakat domestik.

Republik Slovak (ke-59), Colombia (ke-60), Mexico (61), Mongolia (62), dan Venezuela (63) adalah negara-negara terakhir dalam ranking itu. – MalaysiaGazette