KUALA LUMPUR – Ketika keadaan ‘panas’ dan tidak keruan berikutan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ada juga pihak merasakan ia ada kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Moden Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Sultan Idris (UPSI), Dr. S. Ilangkumaran Sivanadhan berkata, ini kerajaan telah beberapa kali memberi keyakinan ratifikasi ICERD tidak akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebenarnya tidak perlu gusar atau khuatir kerana selagi kerajaan memberi jaminan tidak akan melakukan apa-apa yang menggugat kedudukan serta hak, kita masih mampu menarik nafas lega.

“Malah sebelum ini, ada kenyataan dari kerajaan yang menyebut seandainya ada syarat untuk Malaysia membuat perubahan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ICERD tidak akan berlaku.

“Isu ini sebenarnya diperbesarkan serta dipolitikan oleh segelintir pihak selagi kerajaan memberi keyakinan, selagi itu kita tidak perlu gundah dan risau. Lagi banyak kita bercakap, lagi banyak kita akan bertelagah.

“Biar kita lihat terlebih dahulu apakah boleh ratifikasi atau mempunyai syarat tertentu, jangan terus membuat keputusan dalam isu ini,” katanya.

Beliau mengulas  komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang telah mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Beliau menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Jelas Ilangkumaran lagi, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan bumiputera terlebih dahulu, majoriti di Parlimen dan perkenan Yang Dipertuan Agung.

Ilangkumaran berpandangan, dengan tiga perempat negara di dunia telah menerima ICERD, imej Malaysia dalam arena antarabangsa tidak begitu ‘bagus’ seandainya tidak menandatangani ratifikasi tersebut.

Malah nasihat Ilangkumaran, isu-isu penting seperti ICERD yang di bawa ke Parlimen seharusnya diperbahaskan dengan fakta  dan bukan berteraskan perjuangan sesebuah parti politik semata-mata.

“Debatlah dengan cara baik. Dengan fakta. Jangan letak perjuangan parti sebagai objektif dalam membincangkan isu seperti ini, daripada yang kita lihat sama ada wakil kerajaan atau pembangkang, semuanya bercakap dengan sentimen politik junjungan parti mereka.

“Itu tidak betul, kerana itu berlaku pergaduhan yang tidak diduga kadang-kadang, patutnya sebagai wakil serta suara kepada rakyat, hanya kepentingan mereka jadi keutamaan. Jangan semua janji serta harapan yang diberikan ketika pilihan raya sahaja, selepas menang hendak bergaduh sahaja,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, ketika bercakap tentang Waytha yang begitu ‘agresif’ dalam isu ICERD sehingga mengundang rasa tidak senang dalam kalangan pihak pembangkang dan kerajaan, Ilangkumaran berkata, hakikatnya imej pemimpin itu ‘bercampur aduk’

“Bukan saya kata Waytha berubah-ubah sebaliknya persepsi umum tentang beliau termasuk dalam kalangan masyarakat India sebenarnya ‘bercampur aduk’. Ada yang suka beliau, ada yang tidak.

“Ada yang setuju dengan perjuangan beliau, ada yang tidak setuju dengan suara lantang beliau. Ketika beliau bersetuju menerima pelantikan timbalan menteri ketika era Barisan Nasional (BN), tidak semua senang.

“Apabila letak jawatan, juga ada yang tidak senang dengan mengatakan dirinya tidak boleh berdepan dengan cabaran politik. Hakikatnya, bila anda bercakap tentang Waytha, perasaan rata-rata rakyat serta pemimpin tidak kira pembangkang atau kerajaan, semuanya mempunyai pendapat masing-masing.

“Ada kata beliau pemberontak, rasis. Ada yang kata dirinya itu pemimpin yang lantang bersuara ketika yang lain mendiamkan diri. Kini, dalam isu ICERD juga begitu, dengan portfolio perpaduan, memang sesuai untuk dirinya bercakap tentang itu.

“Betul juga beliau berdebat dan bercakap tentang ICERD di Parlimen, ada boleh terima ada yang tidak. Yang sebetulnya, beliau tidak bercakap tentang kepentingan masyarakat India atau sebagai pemimpin nombor satu Hindraf sebaliknya atas kapasiti Menteri di JPM.

“Tidak betul minta beliau letak jawatan kerana isu ICERD atau isu video lamanya. Itu perjuangan beliau sebelum pegang tampuk, kini mungkin nadanya berubah. Sama seperti yang keluar dari parti dan lompat ke parti lain.

“Kini pendapat lain, kini pandangan lain. Dulu mansuh GST ganti SST, kini boleh terima. Kerajaan baharu semuanya baharu, kita kena belajar untuk adaptasinya,” tegas beliau. –MalaysiaGazette