Sapura Energy
Sapura Energy

KUALA LUMPUR- Anak syarikat Sapura Energy Bhd. berjaya memperoleh kontrak bernilai RM1.75 bilion di Mexico dan Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, ia berjaya mendapat kontrak melakukan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengangkutan dan pemasangan di lapangan pembangunan Hokchi di Teluk Mexico dari syarikat Hokchi Energy S.A de C.V.

Projek berkenaan dijangka siap menjelang akhir suku pertama 2020.

Tambahnya, anak syarikatnya itu juga mendapat kontrak daripada ENI Mexico S. de. R.L de C.V untuk melakukan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengangkutan dan pemasangan di Blok Luar Pesisir Kawasan 1, Teluk Mexico.

Kerja-kerja tersebut dijangka siap pada akhir suku kedua tahun 2019.

Dalam pada itu, anak syarikatnya, Sapura Subsea Services Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak lima tahun untuk menyediakan perkhidmatan bawah air bagi Kontraktor Petroleum (PAC) pakej C oleh empat syarikat.

Syarikat-syarikat tersebut adalah Sarawak Shell Bhd./Sabah Shell Petroleum Company Ltd., Murphy Sarawak Oil Co. Ltd/ Murphy Sabah Oil Co. Ltd., Reposl Oil & Gas Malaysia Ltd dan Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn. Bhd.

Menurut Sapura Energy, skop kerja merangkumi perkhidmatan bawah air termasuk penggunaan kapal, penyelaman udara dan saturasi dan pengendalian kenderaan.-MalaysiaGazette