Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

SEREMBAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mencadangkan tiga nama termasuk Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram untuk dicalonkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusinya Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar berkata, bagaimanapun nama Dr Streram adalah keutamaan kerana dia terlibat di peringkat awal lagi iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Pada hari penamaan calon 28 April lepas, Dr Streram gagal mendaftarkan diri sebagai calon PRU-14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan SPR untuk memasuki pusat penamaan calon.

Berikutan itu, calon Barisan Nasional bekas MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.- BERNAMA