Datuk Abdul Karim Abu Seman
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan), Datuk Abdul Karim Abu Seman berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 3.0 di Wisma Chinesse Chamber, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Untuk meredakan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pengamal media di negara ini diminta menyebarkan mesej perpaduan melalui laporannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, P.Waytha Moorthy berkata, media perlu menghebahkan usaha kerajaan mendidik masyarakat supaya mencintai dan mengekalkan perpaduan serta keharmonian sedia ada.

“Kerancakan media menyiarkan (tular) cerita-cerita positif daripada Anugerah MyHero ini dapat menenggelamkan berita negatif yang banyak dibangkitkan dalam media sosial yang secara tidak langsung boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat.

“Ini secara tidak langsung dapat menjadi contoh, teladan dan insiprasi kepada masyarakat agar mudah menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama dan budaya kepada rakan kaum lain,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 3.0 di Wisma Chinese Chamber, di sini, hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan), Datuk Abdul Karim Abu Seman.

MGF22112018_PELANCARAN ANUGERAH MYHERO_05

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan), Datuk Abdul Karim Abu Seman (dua kanan) bersama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap (kanan), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah MyHero 3.0, Datuk Richard Lau Chi Chiang (dua kiri) dan Pengurus Bahan Pendidikan dan Pengarang Pendidikan Nanyang Siang Pau, Fan Tiong Sing (kiri) membuat gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 3.0 di Wisma Chinesse Chamber, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 NOVEMBER 2018Penganjuran MyHero 3.0 merupakan satu inisiatif murni untuk menunjukkan ketabahan, keberanian dan keazaman tinggi dalam membantu rakan dalam kalangan kaum lain.

Waytha Moorthy berkata, penglibatan media daripada empat bahasa amat penting kerana liputan dan penyampaian mesej positif dan nilai moral daripada calon-calon Anugerah MyHero dapat disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia.

“Saya menyeru agar seluruh rakan media menghebahkan usaha MyHero kepada seluruh masyarakat melalui semua saluran media.

“Disinilah prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam rukun negara dijunjung tinggi apabila dapat membina sebuah masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya.

Katanya lagi, laporan media mengenai pengalaman penerima anugerah MyHero boleh digunakan sebagai medium untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda mengenai kepentingan bertoleransi dan bersederhana.

“Penerima Anugerah MyHero sebelum ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara, petani, guru dan sukarelawan yang sentiasa menghulur bantuan dan sumbangan tanpa mengira perbezaan etnik dan agama.

“Bantuan dan sumbangan ikhlas dihulurkan tanpa mengharapkan balasan dan pengiktirafan ini dapat membantu menyemai keharmonian antara kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast