Amirali Hajizadeh. foto Agensi

LONDON – Pengawal Revolusi Iran berkata, pangkalan Emiriah Arab Bersatu dan Qatar serta Amerika Syarikat di Afghanistan dan pesawat Amerika Syarikat di Teluk berada dalam lingkungan peluru berpandu Tehran.

Ia meningkatkan ketegangan antara Tehran dan Washington.

“Mereka berada dalam jangkauan Iran dan kami boleh membedil jika Amerika Syarikat bergerak,” kata Amirali Hajizadeh, Ketua Bahagian Ruang Udara Pengawal Revolusi, yang dipetik oleh agensi berita Tasnim.

Hajizadeh berkata, Pengawal Revolusi telah meningkatkan ketepatan peluru berpandu dan secara khusus mengatakan mereka boleh membedil Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, pangkalan Al Dhafra di Emiriyah Arab Bersatu dan Pangkalan Kandahar di Afghanistan, lokasi penempatan pasukan Amerika Syarikat.

Presiden Donald Trump telah menarik balik perjanjian antarabangsa mengenai program nuklear Iran pada bulan Mei dan mengembalikan sekatan ke atas Tehran.

Beliau berkata, perjanjian itu terjejas kerana ia tidak termasuk kekangan mengenai pembangunan peluru berpandu balistik Iran atau sokongannya terhadap proksi di Syria, Yaman, Lubnan dan Iraq.

Tehran pula telah menolak rundingan dengan Washington mengenai keupayaan ketenteraannya, khususnya program peluru berpandu yang dikendalikan oleh Tentera Revolusi.

Malah, Iran mempertahankan bahawa program peluru berpandunya bagi pertahanan dan akan memberi ancaman kepada penghantaran minyak melalui Selat Hormuz di Teluk jika Amerika Syarikat cuba menjejaskan eksport minyak Iran.

Pada bulan Oktober, Pengawal Revolusi melancarkan peluru berpandu di pemberontak Syria selepas melakukan serangan pada perarakan tentera di Iran yang mengorbankan 25 orang, hampir separuh daripada mereka adalah anggota Pengawal. – MalaysiaGazette