Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad tidak percaya  kerajaan tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ujar beliau, kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini tidak akan meratifikasikan ICERD tidak boleh diterima bulat-bulat sebelum ia dimuktamadkan.

“Takkanlah kita nak pakai, Tun Mahathir pun dia punya cakap saya tak pernah pakai. Pasal hari ini dia cakap lain, esok dia cakap lain.

“Betul dia Perdana Menteri tetapi saya tak terima dia sebagai pemimpin negara dia mempunyai pemikiran dan sayang kepada orang Melayu dan Islam,” katanya dalam Forum Isu Politik Semasa bertajuk Pelaksanaan ICERD: Adakah Orang Melayu Dan Islam Tergugat? di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini.

Forum berkenaan diadakan sempena program lawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke UMNO Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, rakyat tidak perlu teragak-agak untuk turun padang pada Himpunan Aman Ummah di Dataran Merdeka, 8 Disember depan.

Katanya, biarpun kerajaan PH telah menarik balik ratifikasi ICERD namun rakyat perlu membuktikan bahawa golongan majoriti di negara ini akan terus menolak apa sahaja yang akan menggugat kedudukan istimewa kaum Melayu.

“Kita akan teruskan bukan kerana kita tak bantah, kita masih bantah ICERD, tujuan dan hasratnya yang terselindung, yang tersirat pun ada.

“Kita keluar 8 Disember untuk raikan Perlembagaan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette