Datuk Ramesh Arumugam
Datuk Ramesh Arumugam

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti (MiRA) menyifatkan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa masyarakat Orang Asli jangan megharapkan bantuan daripadanya dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai angkuh, penghinaan dan tidak bertanggungjawab.

Naib Presidennya, Datuk Ramesh Arumugam berkata, masyarakat Orang Asli di Perak merasakan kenyataan itu satu bentuk penindasan yang bertujuan memalukan mereka.

Jelas beliau, Orang Asli tidak pernah menjadi pengemis untuk sebarang bentuk bantuan kerajaan ataupun daripada Ahmad Faizal.

Malah katanya, selama-lamanya tidak pernah ada Orang Asli yang menjadi pengemis jalanan, tetapi beratus serta beribu pengemis daripada golongan masyarakat orang Melayu, Cina, India dan antarabangsa di negara ini.

“Orang Asli ada maruah dan hentikanlah perbuataan sebegini rupa dengan serta merta. Jangan hina mereka dengan kenyataan berunsurkan niat untuk memalukan masyarakat Orang Asli di Perak dan Malaysia khususnya.

“Persoalannya mengapakah Ahmad Faizal membuat kenyataan begitu ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan Malaysia Baharu? Berapa banyak bantuan telah dimohon oleh Orang Asli di Perak sehingga hari ini?” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, budaya meminta minta dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu dihapuskan sekiranya masyarakat itu mahu terus maju.

Sebaliknya, ujar beliau, masyarakat itu perlu turut berusaha dan mencari bidang alternatif untuk menaikkan taraf ekonomi mereka.

Ujar Ramesh lagi, sehingga kini masyarakat Orang Ahli di Perak tidak pernah meminta-minta, apatah lagi memohon sebarang bantuan dari kerajaan negeri.

“Sebagaimana saya dimaklumkan oleh masyarakat Orang Asli, sehingga hari ini tidak ada sebarang permohonan dari mereka kepada kerajaan negeri untuk kepentingan mereka di DUN Chenderiang dan Tapah yang diwakili Ahmad Faizal.

“Tidak ada apa yang diminta oleh mereka, melainkan isu warta tanah dan kemudahan asas sebagaimana tertakluk dalam manifesto Buku Harapan yang telah dijanjikan kepada rakyat Perak.

“Setakat ini, kami tidak merasakan kepemimpinan Ahmad Faizal boleh membawa perubahan yang diharapkan atau kehidupan lebih baik dibandingkan pemerintahan 61 tahun di bawah Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau turut mengungkit kenyataan Ahmad Faizal pada majlis berbuka puasa di Hutan Lipur Kinjang, Tapah 31 Mei lalu, yang mana beliau dilaporkan menyindir dengan niat hendak memalukan sentimen Orang Asli.

Pada majlis itu, katanya, Menteri Besar berkenaan ada menyatakan, jangan harapkan beliau akan wartakan tanah untuk Orang Asli daripada Tapah ke Ringglet, Cameron Highlands.

“Persoalannya, bila masa masyarakat Orang Asli memohon daripada beliau untuk warta tanah sebegitu luas? Tidak pernah ada sebarang permohonan seperti yang dinyatakan itu sehingga hari ini.

“Mengapakah Ahmad Faizal menghina Orang Asli apabila baru menerajui kepemimpinan Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sedangkan pada 25 Ogos lalu beliau ada mengatakan ingin tinggal di hutan untuk menyelami sendiri kehidupan Orang Asli.

“Kenyataan beliau ini tidak masuk akal langsung. Yang hidup dalam hutan adalah monyet, gajah, harimau dan lain-lain binatang buas, bukannya Orang Asli,” ujarnya.

Kata Ramesh, masyarakat Orang Asli hanya tinggal di pinggir kawasan hutan, bukan dalam hutan dan apakah niat beliau mengungkapkan kenyataan seperti itu? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast