KUALA LUMPUR – Insiden rusuhan yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia khasnya komuniti India awal pagi di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights sebenarnya seperti filem Tamil dengan beberapa kenderaan dibakar dan diterbalikkan.

Tidak cukup dengan itu, para penganut dan penyokong kuil yang sudah berusia 140 tahun itu juga diserang dengan senjata seperti parang selain daripada senjata lain sehingga mendatangkan kecederaan berdarah.

Dilaporkan sebanyak 18 kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal terbakar pada insiden yang belaku awal pagi tadi sehingga memaksa pihak bomba mengambil lebih daripada setengah jam untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Pada awalnya, sebuah video menjadi tular dengan netizen melahirkan rasa marah rata-ratanya masyarakat India dengan insiden tersebut, apa lebih mengecewakan apabila ada juga pemimpin dan pihak berkuasa yang memberi gambaran ianya berlaku kerana ketegangan antara kaum.

Hakikatnya, apabila siasatan di lakukan, ada dakwaan mengatakan rasa tidak puas hati antara pemaju, One City Development Sdn Bhd dan pengurusan kuil yang enggan berpindah dari tanah tersebut.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, adalah tidak betul untuk segelintir pihak yang begitu ‘bercita-cita tinggi’ untuk memberi gambaran kononnya insiden pagi tadi bermotifkan perkauman.

Katanya, kejadian itu sengaja dipolitikan oleh golongan berkepentingan yang mahu mewujudkan rasa tidak senang bagi merealisasikan impian mereka.

“Hakikatnya, ini bukan isu perkauman antara Melayu dan India atau Cina dan India. Mereka mahu wujudkan persepsi sedemikian bagi mengelirukan umum dengan apa yang sedang dihadapi. Perjuangan kuil ini bukan sehari dua untuk segelintir ambil kesempatan begitu sahaja.

“Jangan sesekali melakukan sedemikian dan ingat anda akan terlepas begitu sahaja. Jangan cuba cetuskan sebarang isu perkauman yang kemudiannya ganggu gugat keharmonian yang sudah lama wujud. Ini bukan isu politik.

“Bukan MIC sahaja yang tidak dapat bertolak ansuar dalam isu sebaliknya saya pasti semua yang ada termasuk kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak duduk diam dengan isu seperti ini.

“Kita mengutuk insiden ini, pihak berkuasa seperti polis perlu fokus dan serius dalam tangani isu dan dalang di sebalik perkara ini, ternyata agenda besar sehingga boleh membahayakan keselamatan serta keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Tambah Vigneswaran, beliau ketika ini sedang dalam proses menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memberi gambaran jelas berhubung perkara itu.

“Seperti yang saya cakap tadi, ini bukan masa untuk dapatkan publisiti sebaliknya bersama-sama mencari jalan penyelesaian kerana ini bukan satu perkara yang kita perlu pandang secara ringan, kita sangat komited dalam memastikan ianya di selesaikan dengan cara yang aman serta keadilan dapat di capai oleh semua pihak,” tegasnya.

Rata-rata pemimpin PH tidak diterima kehadiran mereka ke lokasi kuil tersebut sejak insiden rusuhan pagi tadi kecuali Vigneswaran yang turut memberikan derma sebanyak RM20,000 untuk kemusnahan yang berlaku di situ.

Seafield1
Perjuangan kuil Sri Maha Mariamman sudah memakan masa lebih 11 tahun bagi memastikan ianya tidak dipindah ke lokasi lain oleh pemaju.

Jelas penganut dan penyokong kuil itu hanya mahu kerajaan kini membantu mereka menyelamatkan kuil itu dan bukan sebaliknya malah ketika Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang cuba melakukan lawatan pagi tadi diminta tidak campur tangan dalam isu tersebut.

Krisis kuil Sri Maha Mariamman ini sebenarnya bukan baharu malah ianya sudah mencecah lebih 11 tahun dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan politik yang cuba bantu merungkai perselisihan tersebut.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan tapak asal kuil tersebut dikosongkan manakala kuil dipindahkan ke lokasi lain.

Difahamkan, kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil namun tidak dipersetujui oleh pengurusan kuil.

Terdapat dua pihak yang menuntut pemilikan kuil ini yang dibina untuk pekerja ladang pada 1981 iaitu K Chellappa dan M Nagaraju.

Yang merumitkan keadaan apabila kedua-dua mempunyai tuntutan berbeza, Chellappa bersetuju untuk penempatan semula dengan kos pampasan manakala Nagaraju yang pada awalnya bersetuju kemudian bertukar fikiran.

Nagaraju yang mengaku nenek moyangnya membina kuil tersebut berkata pokok ara yang di anggap suci oleh masyarakat India di kuil tersebut adalah suci dan tidak sepatutnya membiarkan dewa di alihkan tempat lain.

Kedua-dua kini sedang berhadapan dengan kes mahkamah berhubung isu berkenaan.

Sejak 25 Oktober lepas, pihak polis telah dikerahkan untuk berkawal di perkarangan kuil selepas dakwaan akan berlakunya insiden tidak di senangi termasuk pemindahan dewa ke tapak baharu.

Penganut kuil mula mengawal kuil tersebut selain daripada mengadakan mogok lapar agar tidak ada sebarang penempatan semula untuk kuil tersebut.

Pasukan Bertindak Kuil Seafield di bawah pimpinan aktivis Hindu, S. Ramaji juga bertegas tidak akan sesekali berganjak walaupun ianya membahayakan nyawa kerana kesucian kuil perlu dijaga. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast