Bank rakyat
Gambar fail: Tan Sri Shukry Mohd Salleh (kiri) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada Zulkiflee Abbas Abdul Hamid terhadap perlantikan beliau sebagai Pengarah Urusan Bank Rakyat. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 3 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd. Yusof berkata, berikutan penyingkiran tersebut, sebarang keputusan yang telah dibuat oleh Shukry sepanjang perkhidmatannya sebagai Pengerusi Lembaga Bank Rakyat bakal disemak semula, malah akan dibatalkan sekiranya didapati menjejaskan kepentingan bank koperasi itu.

“Penyingkiran dibuat selaras dengan seksyen 5 dan subperenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202) berikutan keterlibatan beliau dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Bhd. (1MDB),” katanya dalam kenyataan.

Tambah Redzuan, beliau akan mengumumkan pelantikan Pengerusi yang baharu sebaik sahaja proses lantikan selesai.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mengesahkan terdapat fakta berkaitan ahli perniagaan Jho Low telah dibuang daripada Laporan Audit 1MDB atas arahan Shukry.-MalaysiaGazette