Kuil Sri Mariammam
Beberapa kenderaan terbakar selepas pergaduahn dua kumpulan di dalam kawasan Kuil Sri Mariammam, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

KUALA LUMPURĀ – Pergaduhan antara dua kumpulan di dalam kawasan Kuil Sri Mariammam, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya berpunca daripada perselisihan faham berhubung perpindahan kuil berkenaan.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, selepas menerima laporan, anggotanya tiba ke kawasan kuil berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal.

“Setelah menerima laporan, semua anggota polis telah sampai di kawasan kuil bagi memastikan keadaan terkawal tanpa sebarang rusuhan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kuil Sri Mariammam
Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Subang Jaya kelihatan bersiap siaga di luar kawasan Kuil Sri Mariammam, USJ25, Putra Heights, Subang Jaya, kira-kira 2 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, MalaysiaGazette difahamkan sebelum pergaduhan tercetus, satu kumpulan yang dipercayai wakil pihak pemaju telah bertengkar dengan kumpulan lain dengan kata-kata kesat.

Lewat malam tadi tular rakaman video berdurasi empat minit 50 saat menunjukkan beberapa kenderaan kelihatan terbakar di dalam kawasan Kuil Sri Mariammam selepas dua kumpulan berkenaan bertempur.

Dalam rakaman video itu juga, pihak polis kelihatan mengerah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang rusuhan yang lebih teruk.

Mohammad Azlin juga berkata, pihak polis akan memastikan proses pemindahan kuil berusia 140 tahun itu dijalankan mengikut undang-undang dan secara aman.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa proses pemindahan kuil,” katanya.

Katanya lagi, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan di luar batasan hingga melanggari undang-undang dalam isu perpindahan kuil berkenaan.

“Polis IPD Subang Jaya menasihatkan orang ramai tidak membuat apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette