kuil
Kenderaan yang dibakar orang ramai susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa agar segala provokasi dihentikan serta merta bagi mengelakkan perkara lebih teruk berlaku.

Katanya, tindakan pihak yang menceroboh atau merosakkan rumah ibadat sehingga membahayakan individu di sekitarnya sama sekali tidak boleh diterima.

“Saya menyeru agar isu yang melibatkan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor sekarang ini diselesaikan dengan cara yang paling aman dan terbaik.

“Semua tindakan provokasi oleh mana-mana pihak hendaklah dielakkan dan dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, pihak berkuasa turut digesa melakukan siasatan dengan penuh adil dan terperinci berhubung kekecohan tersebut agar pihak yang bersalah diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan.

“Mana-mana pihak yang enggan menghormati undang-undang negara wajar dikenakan tindakan tegas tidak kira siapa mereka.

“Semua pihak juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara kita yang dikecapi selama ini terus dijaga,” katanya lagi.

Dalam pad itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara baik dan mengikut proses undang-undang sewajarnya.

Ujarnya, beliau yakin dengan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat, perkara ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan mengambil langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak.

“Saya telah dimaklumkan bahawa insiden ini tiada kaitan sama-sekali dengan isu perkauman dan agama. Semua pihak perlu bertenang dan bersabar serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat terhadap apa yang berlaku sehingga boleh mewujudkan keresahan di kalangan masyarakat.

“Saya yakin bahawa pihak keselamatan akan mengambil langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa dipelihara,” katanya yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Awal hari ini, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dilaporkan cedera parah apabila diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya.

Pegawai Penerangan JBPM, Dzulhaimy Dahari dalam satu kenyataan berkata, anggota terbabit telah dimasukkan ke dalam Unit Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Memetik laporan Berita Harian Online,  mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman. – MalaysiaGazette