Trak penunda membawa keluar kenderaan yang dibakar sambil dikawal pihak polis susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA -KKira-kira 50 penganut Hindu mengadakan sembahyang khas untuk mangsa yang tercedera dalam insiden rusuhan sejak dua hari lalu di Tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafields dekat sini malam tadi.

Upacara khas itu bermula pukul 7.30 malam dan berakhir pukul 9 malam tadi.

Sami kuilnya, Jeya Kumar memulakan sembahyang khas untuk mangsa pertama yang kritikal di ICU Pusat Perubatan Subang Jaya iaitu anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, disusuli mangsa mangsa-mangsa lain yang tercedera.

Katanya, sembahyang khas itu adalah bertujuan untuk mendoakan mereka yang tercedera kembali sembuh segera dan dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.

“Upacara ini akan diadakan selama tiga hari sehingga Khamis setiap malam. Sebagai penganut Hindu, anda perlu terus tenang dan tidak boleh beremosi sebaliknya tunjukkan sifat kemanusiaan.

“Penganut yang mahu mempertahankan kuil ini tidak seharusnya terlibat dalam sebarang tindakan beremosi dan luar kawalan yang boleh mencetuskan situasi tidak tenang.

“Itu bukan objektif kita dan anda semua perlu bertafakur dan gunakan akal bernas untuk hadapi setiap situasi dan jangan percaya serta terpedaya dengan isu isu yang viral dan belum tentu sahih,” katanya.

Jeya Kumar juga memaklumkan seorang imam masjid berhampiran kawasan itu menelefon beliau bertanyakan keadaan di kuil sambil menasihati semua yang ada dalam kuil supaya menjaga keselamatan diri masing-masing.

MGF27112018_RUSUHAN KUIL08
Trak penunda membawa keluar kenderaan yang dibakar sambil dikawal pihak polis susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2018.

Terdahulu, sebanyak lima buah kereta yang dibakar oleh perusuh dalam insiden awal pagi tadi telah ditunda trak diiringi polis dari tapak sebelah kuil tersebut sekitar 10.20 malam.

Sementara itu, keadaan setakat ini terkawal dengan pemantauan oleh pasukan FRU yang ditempatkan di hadapan kuil tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast