Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengutuk kejadian pergaduhan mengenai isu perpindahan Kuil Sri Maha Mariaman pada awal pagi semalam menyebabkan ada yang cedera termasuk anggota bomba serta banyak kenderaan rosak akibat dibakar.

Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, tanpa mengira siapa yang mula mencetus pergaduhan itu, siasatan secara telus perlu segera dibuat.

Kejadian itu, kata beliau, adalah isu serius dan tuduh menuduh secara semberono antara pihak berkenaan tidak akan beroleh kebenaran sebenar mengenai punca kejadian.

“Belum pun mendapat sebarang maklumat sahih, seorang menteri secara terbuka telah membuat tuduhan mengenai cara polis menangani situasi, kononnya sudah bersifat rusuhan.

“Tuduhan polis lewat tiba dan tidak dapat mengawal keadaan amat tidak bertanggungjawab. Kenyataan menteri ini pula telah disokong oleh empat lagi menteri dan seorang timbalannya dari kaum India,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr Ibrahim berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy sebagai anggota kabinet amat tidak sopan dan mencabar institusi kerajaan terutama yang bersabit dengan anggota polis yang saban hari menjaga keselamatan di dalam negara.

“Apakah maksud sebenar bila secara tiba-tiba menteri ini membuat tuduhan hanya berdasar kepada mendengar laporan sebelah pihak sahaja. Adakah anggota kabinet tidak ada rasa hormat kepada pasukan polis termasuk kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara?

“Kenapa tidak bawa perkara ini ke kabinet dan kemukakan apa jua bukti yang sahih dan biar kabinet membuat keputusan kalau tidak percaya kepada polis,” ujarnya.

Beliau berkata, siapa yang salah dalam isu kuil itu, sedangkan mahkamah sudah membuat keputusan mengenai ganti rugi dan pampasan berjumlah RM1.5 juta bagi tujuan perpindahan.

Ujar beliau, tidak kira bila kuil itu dibina di tapak berkenaan, asasnya ialah mahkamah sudah membuat keputusan muktamad dan keingkaran mematuhi keputusan itu adalah juga satu kesalahan jenayah yang berat.

“Apakah Waytha Moorthy sebagai seorang pengamal undang-undang tidak mengetahui mengenai perkara ini?

“Mungkinkah kenyataan beliau hanya satu kenyataan politik atau hanya untuk mencari publisi murah dengan mencerca pihak keselamatan?

“Ada dakwaan yang mengatakan pihak pemaju terlibat dengan mengupah kumpulan gangster menceroboh kuil, tetapi pemaju menafikan tuduhan itu dan pasti semua pihak ingin mengetahui kebenarannya,” katanya.

Walaupun sudah ada keputusan mahkamah dan pampasan, tetapi tindakan untuk memindahkan kuil mesti mengikut peraturan dan menggunakan agensi pelaksanaan.

Katanya, tidak boleh mana-mana pihak bertindak sendiri atau mengambil undang-undang di tangan sendiri, kerana ini juga perbuatan terkutuk yang mesti diambil tindakan jika dakwaan ini didapati benar.

Sehubungan itu, Perkasa mencadangkan kerajaan segera melantik jawatankuasa khas yang bebas dan mengeluarkan kertas putih dalam tempoh tiga bulan berhubung kejadian itu.

Ujar Ibrahim, hasil siasatan dan laporan kertas putih dan mana-mana pihak yang bersalah mesti diambil tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast