Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA – Siasatan polis mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn. Bhd. memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan polis.

“Siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki untuk ceroboh dan kawal kuil sebelum polis datang ke tempat kejadian.

“Sejumlah RM150,000 diserah kepada ketua kumpulan ini yang mana setiap orang diberi upah antara RM150 hingga RM300,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Muhyiddin, tindakan menceroboh kuil itu menimbulkan kemarahan penganut Hindu sehingga ia menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda.

“Kita kesal dengan tindakan cuai diambil pemaju, sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” katanya lagi.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan pihak pemaju sendiri ada kaitan dengan upah yang diberi.

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhammad Fuzi Harun menegaskan, pihaknya akan menjejaki dalang kepada kes berkenaan termasuk mengerahkan pasukan dari Bukit Aman.

Dalam kejadian kelmarin, sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast