KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal, Datuk Ramli Sarip bakal menghiburkan penonton tayangan amal telemovie, Meigho pada 28 Disember ini.

Persembahan Ramli atau lebih dikenali sebagai Papa Rock itu akan mendendangkan tiga buah lagu hitsnya yang pasti memukau di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan.

Penerbit telemovie Meigho, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman berkata, tayangan amal itu kali kedua diadakan selepas sambutan hangat yang diterima semasa tayangan yang pertama pada 29 September lalu.

Menurutnya, pemilihan Ramli bagi membuat persembahan sesuai dengan konsep telemovie yang menerapkan unsur dakwah dalam masyarakat.

“Kita mengenali Papa Rock juga sebagai penyanyi lagu-lagu ketuhanan yang mengusik jiwa selain rock dan senada dengan konsep Meigho,” ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

WhatsApp Image 2018-11-28 at 4.56.18 PM
Rusli Zaman

Menurut Rusli, tayangan perdana selama sejam 45 minit itu diadakan pukul 8 malam dan sebaik sahaja selesai, Ramli akan menghiburkan penonton.

Tiket dijual pada harga RM150 dan tempat terhad 400 kerusi sahaja dan sesiapa berminat boleh menghubungi wakilnya, Azman menerusi talian 013-313 3331.

Sebelum itu, menurut Rusli, tayangan perdana pertama telemovie yang sekuelnya bakal diangkat menjadi filem itu mendapat sambutan kerana jalan ceritanya dekat dengan jiwa masyarakat Melayu pada zaman dahulu terutama di Kelantan.

Meigho bermaksud ‘membela’ dalam loghat Kelantan dan biasanya ia melibatkan seseorang itu ‘memelihara’ makhluk halus bagi tujuan tertentu.

Ia mengisahkan kehidupan bekas pelacur, Mek Jaghoh yang mengamalkan ilmu syirik sehingga membawa kesukaran pada saat-saat akhir kematiannya disebabkan oleh ‘perjanjian’ dengan makhlus halus yang belum terlaksana.

Pelakon terlibat dalam telemovie itu antaranya ialah Mustapha Kamal, Elly Mazlein, Jue Aziz, Sawas Haida, Iqram Dinzly, Datuk Seri Eizlan Yusof, Bea Rameshan, Miny Ghazi, Jedy Yunus, Maaruf Aziz, Haddi Al Haq, Along PM dan penampilan istimewa Sabri Yunus.

Rusli juga terlibat sebagai penerbit dan pelakon pembantu dalam telemovie yang sama.

Menurut Rusli, Meigho merupakan adaptasi daripada cerita sebenar berlaku dalam masyarakat Melayu dan yang telemovie seram pertama di Kelantan.

“Cerita ini berlaku apabila manusia ‘bertuhankan’ syaitan dan berkisar mengenai kisah benar yang berlaku di negeri Kelantan. Kalau zaman-zaman dulu orang hendak cantik, hendak lawa jadi mereka banyak membela jin atau hantu pelesit.

“Telemovie ini membawa mesej dakwah dan pengajaran supaya jangan ada antara kita menjadikan syaitan sebagai tuhan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.

“Jadi, cerita ini telah dijadikan sebuah telemovie dan kami mengambil masa kira-kira dua tahun menyiapkannya selepas berdepan dengan pelbagai masalah dan kekangan,” ujarnya.

Menurut Rusli, pengarah dan penulis skrip Meigho adalah Zack Zaideen yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam teater dan kini berjaya membawa skrip itu ke layar perak.

Menurut Rusli, rata-rata penonton yang melihat telemovie Meigho memuji inisiatif pihaknya dan ada yang mengakui ‘terbayang-bayang’ selepas balik ke rumah.

Selepas itu, menurut Rusli, telemovie berkenaan akan djual kepada Astro First bagi membolehkan lebih ramai khalayak menyaksikannya.

Dalam pada itu, sebagai penerbit, Rusli berharap Meigho terus melakar kejayaan dan merancang untuk menerbitkan pula Meigho The Movie untuk tayangan di pawagam.

“Insya Allah saya dalam proses perbincangan untuk mengadakan Meigho The Movie,” ujarnya sambil menambah pihaknya juga merancang menerbitkan filem epik perjuangan Tok Janggut menentang British di Kelantan.

Bagi filem Tok Janggut, pihaknya kini masih dalam proses penulisan skrip dan pemilihan pelakon.

Seterusnya, pihaknya melalu ZZ Karya Production Sdn. Bhd. juga mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat televisyen kerajaan dan swasta untuk menerbitkan lebih banyak telemovie.- MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/13/sampai-melimpah-tengok-meigho/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast