Beberapa buah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba ditempat kejadian namun dihalang orang awam susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini dalam proses mengenalpasti dan mengumpul bukti penyebaran maklumat palsu sehingga wujudnya ketegangan antara kaum sejak kebelakangan ini.

Sejurus selepas proses itu selesai, kumpulan serta induvidu yang terlibat dalam isu yang menyentuh sensitiviti kaum, insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafields, USJ 25, Putra Heights juga bakal berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa jika didapati melanggar undang-undang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang memandang serius perkara ini berkata, pelbagai jenis berita palsu di sebarkan dalam laman sosial sehingga mengeruhkan keadaan.

“SKMM sedang mengumpulkan bahan bukti yang kukuh sebelum diberikan kepada saya untuk dilihat secara terperinci sebelum tindakan susulan dapat diambil,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Gobind telah mengeluarkan arahan kepada masyarakat umum khasnya netizen supaya tidak melakukan sebaran berita selain daripada memberi komen atau luahan emosi sehingga mengakibatkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Jelas Gobind, masing-masing perlu mengambil peranan bagi memastikan insiden ketegangan kaum ini dapat ditangani dengan baik dan aman tanpa memberikan impak kepada situasi bertukar menjadi lebih teruk. – MalaysiaGazette