Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir bagi melawat seorang anggota Bomba yang cedera akibat rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 28 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau dilarang daripada pergi ke kuil Sri Maha Mariamman selepas berlaku kekecohan baru-baru ini.

“Ya, saya beritahu saya hendak pergi ke situ (kuil) tapi saya dilarang. Mereka (pihak keselamatan)  tak bagi saya pergi..jadi saya buat statement (kenyataan) sahajalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat anggota bomba, Muhammad Adib Muhamad Kassim di Isnstitut Jantung Negara yang cedera parah selepas terlibat dalam rusuhan di Subang Jaya itu kelmarin.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan pihak kuil sebelum ini yang mahu Perdana Menteri campur tangan dalam kes itu.

Mahathir juga memaklumkan beliau akan membuat satu kenyataan mengenai kes yang sama di Parlimen esok.

Terdahulu, beliau menggambarkan kesedihannya melihat keadaan Muhammad Adib yang menganggapnya satu cubaan membunuh dan pelakunya seakan-akan tidak ada perasaan.

“Kita akan usaha sedaya mungkin mungkin cari penjenayah ini walaupun tidak ada bukti banyak tapi polis akan siasat,” katanya.

Menurut Mahathir, demonstrasi boleh diadakan di tetapi apa yang berlaku mereka terlibat datang membawa senjata dan ia tidak dibenarkan di negara ini.

Mengenai dakwaan peguam syarikat pemaju yang mengupah samseng ‘menceroboh’ kuil, Mahathir menganggapnya satu perbuatan yang salah.

“Perbuatan itu salah..suruh orang melayu ‘jaga’ kuil hindu. Kononnya orang developer hantar orang ini nak jaga kuil sebab nak pindah beberapa hari lagi

“Pegawal keselamatan kuil orang India nampak Melayu masuk mereka bertindak sendiri..sepatutnya mereka lapor pada polis kata kuil diceroboh tapi tak lapor sebaliknya ambil tindakn sendiri itu tercetuslah kekecohan,” katanya.

Mahathir juga mengesahkan kerajaan Selangor sebelum itu telah memutuskan untuk mengekalkan lokasi kuil berkenaan namun selepas itu pemaju berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya kuil itu dipindahkan.- MalaysiaGazette