Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai Himpunan Jihad Perkasa yang dirancang di Jalan Raja Alang esok, agar berhimpun secara aman dan tidak melakukan sebarang provokasi.

Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata, orang ramai dan pengajur disarankan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

“Negara kita baru sahaja melalui insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang telah menyebabkan keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan yang telah pun dapat dikawal pada masa ini,” kata beliau.

Esok, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akan menganjurkan himpunan berkenaan sempena sempena Persidangan Agung Tahunan Perkasa ke-9 pada 2 Disember 2018.

Menurutnya, polis akan memantau perhimpunan berkenaan bagi memastikan ia berlangsung aman dan undang-undang negara dipatuhi.

Tambahnya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis akan memantau perhimpunan yang bakal dianjurkan Perkasa itu. – MalaysiaGazette