Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam seorang pemimpin parti politik ekstrimis Parti Rakyat Hindu di India, Arjun Sampath mengeluar tuduhan liar berunsur jahat kepada Malaysia berkaitan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafields, baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau di hadapan Konsulat Malaysia di Tamil Naidu, India dua hari lalu yang direkod dan diviralkan, telah menuduh serta mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah terhadap negara ini.

Menurut Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, terlalu banyak fakta salah dan tokok tambah dikeluarkan pemimpin berkenaan yang berpotensi menegangkan suasana tidak baik di Malaysia.

Katanya, Arjun Sampath sengaja dan dalam keadaan sedar cuba mengeruhkan suasana di negara ini dengan mengambil kesempatan ke atas kes rusuhan kuil itu.

“Fakta beliau sangat merbahaya. Ia boleh memprovokasi penganut agama Hindu untuk bertindakbalas ke atas masyarakat Melayu Islam di negara ini.

“Beliau mengatakan serangan ke atas kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dilakukan oleh 200 orang dan menambah mereka membunuh kanak-kanak dan wanita dikelar leher dan sebahagian kuil itu telah diroboh.

“Malah beliau menuduh polis Malaysia tidak berbuat apa-apa, selain menuduh Malaysia menjadi negara Islam wahabi yang membawa anggota ISIS ke negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin sebuah parti pelampau di India yang membuat tuduhan liar serta melampaui batas kononnya rusuhan di kuil itu menyebabkan ramai kanak-kanak dan wanita dibunuh dengan kejam.

Malah, apa yang lebih menimbulkan kemarahan apabila beberapa pemimpin puak pelampau Parti Rakyat Hindu itu membuat dakwaan rata-rata dibunuh dengan cara paling ganas antaranya dikelar leher serta tengkuk.

Menurut Mohd Azmi, tidak cukup dengan itu pemimpin parti pelampau tersebut turut membabitkan penceramah bebas antarabangsa, Dr Zakir Naik yang dituduhnya sebagai pengganas yang dilindungi oleh kerajaan Malaysia.

“Kami mengesa Menteri Luar Malaysia perlu memanggil Duta India di Malaysia dan menyatakan protes ke atas kenyataan pemimpin pelampau India itu.

“Kenyataan beliau nampaknya jelas melampaui batas terutama mengenai status penganut Hindu di Malaysia dengan mendakwa seolah semua penganut Hindu ditindas di Malaysia dan negara ini sudah menjadi negara Islam Wahabi.

“Inilah pada pendapat kami, mengungkit sentimen agama dan kaum secara melampau sangat merbahaya di negara ini, apatah lagi apabila fakta yang diungkap adalah salah dan bertujuan menimbulkan ketegangan antara kaum dan penganut agama di Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata, kenyataan itu juga menunjukkan ada percubaan campur tangan pihak luar untuk memporak-perandakan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

“Kami mengesa Menteri Luar bertegas dengan menyatakan pendirian bahawa sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak luar yang dikeluarkan tanpa asas yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di Malaysia adalah dibantah dengan keras,” ujarnya. – MalaysiaGazette