mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan budaya masyarakat menggunakan sistem transaksi tanpa wang (cashless) pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan budaya itu mampu mengurangkan kos hidup rakyat, sekaligus membanteras gejala rasuah.

Beliau berkata, ini kerana penggunaan wang tunai menyebabkan gejala itu dapat disembunyikan selama ini.

“Bagi yang amal rasuah, mereka suka sorok wang rasuah itu. Jadi bila diperkenalkan masyarakat cashless, semua pembayaran akan direkodkan.

“Budaya cashless akan dapat mengesan siapa yang terima dan rasuah. Ini kerana rasuah berlaku apabila kos kerja menjadi mahal kerana perlu membayar kepada pihak tertentu yang berkuasa untuk meluluskan permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di KL Sentral di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Mengulas lanjut Mahathir, memberitahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu memberi semua kemudahan secara percuma kepada rakyat.

Namun beliau memberi jaminan kerajaan akan sentiasa mencari jalan dan penyelesaian dalam mengurangkan kos hidup masyarakat.

“Kerajaan PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum lalu berjanji untuk mengurangkan kos rakyat namun jika semua ditanggung kerajaan pun tidak boleh juga.

“Apa-apa wang kerajaan adalah wang rakyat dan kerajaan akan guna wang rakyat untuk rakyat.

“Jadi mana-mana syarikat atau pihak boleh mengemukakan idea baharu untuk mengurangkan kos hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette