Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil sikap berhati-hati dan mendapatkan sumber yang tepat dari pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, dekat Subang Jaya, baru-baru ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO menyifatkan kes itu suatu isu yang tidak semena-mena menjadi panas dan kejutan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengetahui punca sebenar kejadian.

“Saya memerhati dan mengikuti rapat isu berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman ini. Dengan rasa insaf dari apa yang terjadi saya mengambil sikap mendapatkan sumber tepat dan benar.

“Kekhuatiran saya ialah apa juga komen atau kenyataan dari pemimpin bakal berdepan pelbagai tanggapan dan persepsi. Justeru, saya menyeru pemimpin dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian, agensi atau badan berkuasa perlu diberikan ruang untuk menjalankan tugas tanpa dikacau atau diberikan tekanan yang tidak sepatutnya sehingga merencatkan tindakan serta siasatan.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor meminta mana-mana pihak sekali pun tidak cuba mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang menyala kerana khuatir akan lebih marak dan sukar dikawal.

“Ini isu berkaitan pemilik tanah dan jawatankuasa kuil. Seharusnya tidak ada tangan jahat yang masuk campur atau mengeluarkan kenyataan menyalahkan pasukan keselamatan atau pun mana-mana individu.

“Kita telah diapikan dengan isu ICERD sebelum ini dan saya melihat pemimpin yang sama cuba mendapatkan publisiti dengan kenyataan berbaur hasutan sehingga boleh menyebabkan dua pihak bertelagah semakin hilang pertimbangan.

“Saya harap ahli UMNO, orang Melayu dan semua pihak tidak mencampuri kemelut itu dan serahkan kepada polis serta Kementerian Dalam Negeri KDN untuk menyelesaikan siasatan agar pihak yang cuba merancang dan mencetuskan rusuhan dihukum kerana mencabar perundangan sedia ada dengan tindakan sendiri,” katanya.

Kata beliau, dari pengamatannya, ada pihak cuba membakar api kemarahan antara kaum, yang mana isu asalnya hanya soal keputusan mahkamah yang tidak dicabar secara perundangan, tetapi diambil jalan salah berkaitan pemilikan.

Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO pelbagai peringkat tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh dijadikan sebagai api pencucuh kepada kebakaran yang lebih marak.

“Semua pihak harus tenang, tidak membuat apa juga spekulasi yang boleh memudaratkan suasana yang kian tegang dan panas ini.

“Walau apa pun isunya, semua pihak harus menghormati agensi penguatkuasaan yang menjalankan tugas untuk menjaga keamanan.

“Saya juga menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada semua keluarga mangsa  rusuhan termasuk seorang anggota Bomba dan Penyelamat, Mohamad Adib yang cedera dalam insiden rusuhan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast