Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli akan terus bersuara mengenai kepincangan mengenai Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meskipun organisasi itu kini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan terus meneliti setiap satu kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya. Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi Kerajaan Persekutuan dipikul oleh pembangkang (UMNO dan PAS), saya akan tetap meneliti dan bersuara.

“Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, In Sha Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang,” katanya melalui hantarannya di Facebook.

Menurut Rafizi, episod kepincangan yang berlaku dalam kewangan Tabung Haji jangan diulangi lagi.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, beliau mula mempersoalkan dana Tabung Haji dengan 1MDB sejak Mac 2015.

Beliau memberi perhatian kedudukan kewangan Tabung Haji dan pelaburan-pelaburannya yang gagal apabila rizab Tabung Haji menjadi negatif seperti yang disahkan oleh Bank Negara.

Katanya, dalam banyak-banyak pendedahan yang pernah dibuat beliau, antara sumpah seranah yang paling teruk diterimanya apabila membangkitkan mengenai kepincangan kewangan Tabung Haji.

“Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong Umno, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat-sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga.

“Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji,” ujarnya sambil berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.

Semalam, Tabung Haji membuat laporan polis terhadap beberapa bekas pihak pengurusan badan itu berhubung penyaluran dana politik.

Mereka adalah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Dalam laporan polis pertama, menyebut dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik yang berkaitan dengan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017.

Laporan kedua pula menyebut amalan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012. – MalaysiaGazette