Seorang peserta merakam gambar helikopter dari model Mi-171A2 pada Demonstrasi Penerbangan Helikopter Model Ansat dan Mi-171A2 oleh Russian Helicopters di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 DISEMBER 2018

SEPANG – Russian Helicopters buat pertama kali memperkenalkan dua model helikopter keluarannya di negara ini sempena siri lawatan demonstrasi di Asia Tenggara.

Pengurus Besarnya, Andrey Boginsky berkata, dua buah helikopter awam Rusia itu adalah jenis Ansat dan Mi-171A2.

Beliau berkata pihaknya yakin aset tersebut mampu menarik minat pihak swasta dan pasukan keselamatan di negara ini.

“Dua helikopter ini merupakan model yang dibina menggunakan teknologi terkini.

“Pesawat ini menampilkan elemen-elemen keselamatan tinggi dan telah meletakkan standard baharu dalam kalangan helikopter kelas pertengahan dunia yang lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penerbangan demonstrasi di ruang udara Litar Antarabangsa Sepang F1 di sini hari ini.

Russian Helicopters yang merupakan sebahagian daripada Rostec State Corporation sebelum telah mempamerkan pesawat Ansat dan Mi-171A2 di China, Thailand dan Kemboja.

Mengulas lanjut, Andrey memberitahu, Mi-171A2 adalah pengubahsuaian terkini model Helikopter Mi-8/17 yang dilengkapi dengan enjin VK-2600PS-03 dengan sistem kawalan digital serta pemutar ekor berbentuk lebih efisien.

Jelas beliau, keunikan pesawat itu adalah pemutar utama baharu dengan bilah komposit dan aerodinamik yang dipertingkatkan.

Katanya, penerbangan dan kelajuan maksimum Mi-171A2 adalah 10 peratus daripada Helikopter Mi-8/17 dengan muatan 25 peratus lebih besar.

“Mi-171A2 dilengkapi dengan peralatan digital KBO-17 yang direka berdasarkan prinsip kokpit kaca yang membolehkan bilangan anggota kru dapat dikurangkan kepada dua orang.

“Helikopter ini boleh digunakan sebagai pesawat penumpang dan juga didapati dalam bentuk pengangkutan dan versi VIP,” katanya.

MGF03122018_Demonstrasi Helikopter Russian Helikopter_07
Ketua Pengarah Russian Helicopters, Andrey Boginsky pada Demonstrasi Penerbangan Helikopter Model Ansat dan Mi-171A2 oleh Russian Helicopters di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 DISEMBER 2018

Model Ansat pula kata Andery adalah helikopter enjin berkembar pelbagai guna yang dihasilkan oleh Kazan Helicopters pada Mei 2015.

Menurutnya, pesawat tersebut diubahsuai dengan kelulusan modul ujian perubatan.

“Modul ini mematuhi semua piawaian ambulans udara antarabangsa dan dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia.

“Helikopter ini dilengkapi dengan sistem pengalihudaraan mekanikal dan mesin tele-EGG yang mampu membaca kardiogram dalam masa sebenar.

“Reka bentuk helikopter itu membolehkan ia cepat berubah menjadi sama ada kargo atau helikopter penumpang dengan kapasiti sehingga tujuh orang,” katanya.

Andery menambah, kedua helikopter yang dihasilkan di Kazakhstan itu dijual pada harga asas bermula RM22 juta bagi Ansat dan RM60 juta bagi Mi-171A2.

MGF03122018_Demonstrasi Helikopter Russian Helikopter_05
Ruang kokpit helikopter dari model Mi-171A2 pada Demonstrasi Penerbangan Helikopter Model Ansat dan Mi-171A2 oleh Russian Helicopters di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 DISEMBER 2018

Katanya, tempahan siap pula akan mengambil masa antara tujuh ke sembilam bulan manakala versi VIP mencecah tempoh setahun.

Mengulas penguasaan pasaran di rantau ini, Andrey yakin pihaknya dapat meningkat angka dua peratus ketika ini kepada lima peratus dalam tempoh enam ke tujuh tahun akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast