Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyempurnakan gimik perasmian sambil diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kiri) dan Presiden Anulae Semenanjung Malaysia merangkap Presiden CUEPACS, Datuk Haji Azih Muda (kanan) pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia 2018 di Institut Latihan Dewan Bandar Kuala Lumpur, Jalan Yaacob Latif, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memberikan elaun risiko khas kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu kajian yang menyeluruh, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Walaupun saranan yang disuarakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah dibawa ke Kabinet namun menurut terdapat perkara yang perlu diteliti sebelum pelaksanaannya dibuat.

Antaranya sistem pangkat dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah memperuntukkan sejumlah elaun tertentu kepada warganya termasuklah anggota bomba.

“Elaun bomba itu saya dah bentangkan di peringkat Kabinet, secara prinsipnya elaun kritikal sebanyak RM200 diterima tapi oleh kerana kerajaan ada sikit perundangan atau sistem yang mana JPA ada pangkat-pangkat tertakluk kepada elaun tertentu.

“Jadi perlu buat kajian yang menyeluruh supaya mereka boleh meluluskan elaun kritikal itu,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2018 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) danKesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE).

Beliau mengulas mengenai cadangan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda yang memohon kerajaan meluluskan elaun risiko sebanyak RM200 sebulan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, elaun berkenaan sangat bertepatan dengan anggota bomba yang bekerja siang dan malam demi menyelamatkan orang ramai.

Cadangannya timbul selepas insiden enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana 3 Oktober yang lalu.

Kes baharu pula, kecederaan parah yang dialami seorang anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat dipukul ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Isnin yang lalu. -MalaysiaGazette