Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman

ALGIERS – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman tiba di Algeria dalam rangka lawatannya di negara-negara Arab selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Argentina.

Perdana Menteri Algeria, Ahmed Ouyahia menyambut ketibaan Putera Mahkota itu.

Algeria merupakan antara negara yang dilawati beliau selepas mengadakan lawatan di Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Mesir dan Tunisia.

Sebelum ke Algeria, Mohammed bin Salman ke Mauritania, yang mana Arab Saudi akan membina sebuah hospital besar di Nouakchott.

Ia merupakan lawatan pertama Putera Mahkota selepas dikaitkan dengan pembunuhan Jamal Khashoggi di bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Arab Saudi telah menafikan pembabitan Mohammed bin Salman dalam kes pembunuhan itu selepas memberi penjelasan berbeza sebelum itu.

Algeria dan Arab Saudi mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan, khusus dalam sektor petrokimia dan minyak, dijangka mengadakan perbincangan dalam lawatan dua hari itu.

Algeria juga merupakan satu daripada negara-negara Arab yang mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi dan pesaingnya, Iran – kedua-duanya anggota OPEC.

Selain itu, Algeria itu juga mempunyai hubungan kukuh dengan Qatar – yang mana Arab Saudi dan tiga negara Teluk lain telah memutuskan hubungan perdagangan dan pengangkutan pada bulan Jun 2017 kerana menuduh Qatar menyokong keganasan dan Iran.

Algeria turut mempunyai hubungan baik dengan Turki.

Lawatan Mohammed bin Salman tidak mendapat tentangan daripada rakyat Algeria seperti mana yang dihadapi di Tunisia kerana demonstrasi diharamkan di negara itu. – MalaysiaGazette