P. Waytha Moorty

KUALA LUMPUR – P. Waytha Moorthy mendakwa Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan palsu dan beransur fitnah seolah-olah beliau telah menghina orang Melayu dan Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan kedua-dua pemimpin itu merupakan tuduhan liar dan ucapan benci untuk menghasut orang ramai menghadiri perhimpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dianjurkan oleh Pas dan UMNO pada hujung minggu ini.

Dakwa Waytha Moorthy, beliau telah menjadi sasaran sejak menjawab soalan di Dewan Rakyat mengenai ICERD sebulan yang lalu .

Malah, katanya, tuduhan-tuduhan liar dan pembohongan mengenai dirinya telah dikeluarkan oleh mereka yang mempunyai motif tersembunyi.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh 24 jam kepada Tajuddin dan Ibrahim untuk menarik kenyataan mereka atau bersedia menghadapi saman fitnah.

“Saya memilih saluran ini kerana saya merasakan ianya akan menjadi saluran terbaik untuk membersihkan nama saya
daripada tohmahan-tohmahan melulu.

“Kenyataan oleh Tajuddin Abdul Rahman dan Ibrahim Ali tidak membantu dalam menyatukan negara dan sudah pasti ianya tidak sesuai untuk sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette