Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri akan mengeluarkan ‘Nota Bantahan’ serta-merta kepada pihak Singapura berhubung perlanggaran prinsip hak kedaulatan negara tersebut menyiarkan tatacara ‘Instrument Landing System’ (ILS) walaupun tidak mendapat kebenaran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, kerajaan tidak akan sesekali ‘berkompromi’ dalam isu kedaulatan negara.

Katanya, isu-isu yang melibatkan kepentingan strategik pengurusan ruang udara negara akan terus diberi perhatian yang paling utama.

Menurut Anthony, sebelum ini kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan Singapura menyiarkan tatacara ILS baharu serta telah dimaklumkan pada 28 dan 29 Novomber setelah mengambil kira kedaulatan serta pembangunan sekitar kawasan Pasir Gudang tidak tergugat namun tidak dipatuhi oleh negara jiran tersebut.

“Berikutan tindakan kerajaan Singapura yang masih menyiarkan tatacara ILS tersebut pada 1 Disember 2018 dan akan berkuatkuasa pada 3 Januari 2019 tanpa kebenaran Kerajaan Malaysia.

“Penyiaran ini adalah bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara yang diperuntukkan di bawah Convention on International Civil Aviation (Chicago Convention) 1944. Kerajaan mengeluarkan Nota Bantahan kepada pihak Singapura kerana tindakan ini,” katanya ketika sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH), Hasan Abdul Karim yang mahu penjelasan apakah pembangunan di sekitar kawasan Pasir Gudang, Johor akan tergugat susulan keinginan Singapura untuk merancakkan operasi penerbangan komersil di Lapangan Terbang Seletar yang hanya bersempadan dua kilometer dari sempadan negara.

Ketika soalan tambahan, Hassan turut berkata, tindakan Singapura juga sebenarnya menyebabkan kehidupan penduduk-penduduk kawasan Pasir Gudang dan pelabuhan Johor terletak di Pasir Gudang terdedah dengan gangguan penerbangan rendah kapal terbang di atas rumah mereka.

“Mereka juga terpaksa melalui pencemaran bunyi yang teruk, selain daripada ancaman risiko kemalangan dan tiada bangunan ketinggian lebih lima tingkat boleh di bina di laluan kapal terbang yang mendarat di lapangan terbang. Adakah Menteri sedar?,” soal Hassan.

Anthony kemudian bangkit bangun dan mengakui isu berkenaan serta memaklumkan pihaknya menghantar Nota Bantahan kerana isu-isu tersebut menjejaskan kehidupan rakyat Johor.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan menyokong tindakan kerajaan menghantar nota bantahan namun mahu tahu apakah tindakan susulan kerajaan termasuk rundingan lanjut dengan Singapura.

“Ini tentang masyarakat Johor, Bangsa Johor. Kita semestinya menyokong tindakan kerajaan yang mahu hantar nota bantahan kepada kerajaan Singapura. Ini isu penting dan sensitif. Soalan saya, adakah Malaysia akan buat rundingan susulan bagi pastikan ini diselesaikan dan adakah isu ini akan mengganggu projek mega dengan negara jiran ini,” soal Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, kata Anthony kerajaan tidak akan mengadakan sebarang konfrontasi atau pendekatan keterlaluan tetapi pada masa yang sama kedaulatan negara akan dipertahankan dan pendekatan terjamin di ambil.

Tatacara ILS merujuk kepada kaedah penerbangan yang dibantu alat pandu arah di lapangan terbang yang menyediakan panduan menegak dan mendatar kepada juruterbang semasa penerbangan turun mendekati landasan.

Ianya akan menyediakan ‘jalan masuk’ yang menjamin ketepatan dan kecekapan penerbangan lantas meningkatkan kebarangkalian untuk mendaratkan pesawat di sesuatu lapangan terbang.

Bagi membolehkan pesawat menggunakan tatacara ILS baharu untuk Lapangan Terbang Seletar, maka butiran terperinci tentang peraturan, kaedah dan maklumat lain yang berkaitan dengan ‘jalan masuk’ tersebut perlu disiarkan secara rasmi dalam AIP Singapura yang dikeluarkan pihak CAAS.

Tanpa penyiaran tatacara ILS baharu untuk Lapangan Terbang Seletar dalam AIP Singapura, maka ‘jalan masuk’ tersebut adalah bersifat tidak lengkap dan tidak boleh digunakan. –MalaysiaGazette