Bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kanan) ketika hadir bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hadir di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tepat jam 10.25 pagi.

Beliau yang menaiki kereta Nissan X-Trail bernombor pendaftaran WC727L dilihat memasuki perkarangan bekas pejabatnya itu berseorangan.

Dzulkifli, 50, diminta hadir bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dikatakan antara saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir Audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM).

MGF05122018_DZULKIFLI SPRM_08
Bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (dua kiri) ketika hadir bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Kassim Mohamed.

Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli melepaskan jawatannya kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata badan itu akan memanggil Dzulkifli berhubung siasatan dakwaan berkenaan.

Turut akan dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Kiandee tidak menolak kemungkinan PAC memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sebelum ini didakwa mengarahkan pengguguran beberapa perenggan dalam laporan audit 1MDB itu.

Isu ini timbul apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 25 November lalu mendedahkan, Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; Ali; Ambrin dan Arul.

Antara yang terawal dipanggil adalah bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. – MalaysiaGazette