Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kehadirannya dalam mesyuarat pindaan laporan audit negara membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau belum dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, ketika itu beliau masih menjawat jawatan sebagai Pengawai Undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan bukan atas kapasiti sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Malah kehadiran beliau dalam mesyuarat itu hanyalah menuruti arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Keterlibatan saya dalam itu hanyalah satu mesyuarat, dijemput dan diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Itulah yang terdapat dalam laporan media yang disebut satu mesyuarat itu dihadiri satu wakil daripada Jabatan Peguam Negara bukanlah kapasiti sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Itu sahaja penglibatan saya dalam isu laporan audit negara,” katanya ketika ditemui media selepas dipanggil memberikan keterangan di SPRM hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Dzulkifli pada 22 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

SPRM mengambil masa lebih lima jam bagi mendapatkan keterangan daripada bekas Ketua Pesuruhjayanya itu.

Terdahulu, Dzulkifli tiba jam 10.25 pagi tadi dan keluar jam 3.30 petang.

Menurut Dzulkifli, beliau merupakan antara saksi terakhir yang dipanggil SPRM berhubung siasatan terhadap pindaan itu.

“Saya bukan merupakan saksi pertama sebagaimana yang dilaporkan. SPRM telah memanggil lebih daripada 15 individu dan saya merupakan antara saksi terakhir dalam siasatan ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Dzulkifli selesai memberikan keterangan hari dan tidak lagi akan dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Kassim Mohamed dan pada 14 Mei lalu, beliau melepaskan jawatannya menerusi surat perletakan jawatan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Siasatan terhadap beliau dimulakan ekoran kenyataan daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang mendedahkan, Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Madinah turut mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB kerana ia dianggap kerajaan sebagai satu krisis.

Madinah berkata Najib mengarahkan pengguguran perenggan mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan pihak penguat kuasa.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; Ali Hamsa; belas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi 1MDB, Arul Kanda.

Pendedahan itu dibuat Madinah pada 25 November lalu dalam satu kenyataan media.

Antara yang terawal dipanggil adalah Tan Sri Ambrin Buang. -MalaysiaGazette