Terdapat premis makanan hipster menggunakan bekas tin susu untuk menghidangkan minuman kepada pelanggan.
Terdapat premis makanan hipster menggunakan bekas tin susu untuk menghidangkan minuman kepada pelanggan.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan peniaga yang menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula untuk menghidangkan minuman kepada pelanggan supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula ini boleh memberikan risiko kepada pengguna kerana tin kitar semula sukar dibersihkan dengan sempurna berikutan reka bentuknya.

Selain itu, terdapat kemungkinan permukaan tin yang telah kemek dan boleh mencederakan pengguna disebabkan permukaan tin yang tajam.

Malah peniaga juga boleh dikenakan hukuman denda atau penjara jika disabitkan kesalahan.

“Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah Dr. Noor Hisham, peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang bakal dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila terdapat premis makanan berkonsepkan hipster yang menghidangkan minuman di dalam bekas tin susu yang dikitar semula.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast