Madinah Mohamad

KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad sekali lagi bertegas terhadap dakwaannya bahawa wujud pindaan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau mempertahankan dakwaan itu ketika memberi keterangan selama lebih tiga jam antara jam 3 sehingga 6.30 petang di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung siasatan wujudnya pengubahan maklumat berkaitan 1MDB.

Madinah mendedahkan, beliau turut menyerahkan segala bukti dan dokumen relevan untuk menyokong dakwaan tersebut kepada jawatankuasa itu.

“Saya sudah beri keterangan kepada PAC. Kita juga telah memberikan bukti-bukti berbentuk dokumen kepada mereka tetapi saya rasa ada baiknya jika Pengerusi PAC sendiri memberikan maklumat kepada pihak media,” katanya kepada pemberita di luar bilik PAC di Parlimen sebentar tadi.

Pada 25 November lalu, Madinah  endedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas CEO 1MDB, Arul antara individu yang terlibat dalam pindaan itu.

Turut didakwa terlibat bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh dan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa selain  wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Hari ini, sebuah akhbar Inggeris juga telah memberi ‘bayangan’ dengan memetik sumber melaporkan, Ambrin sewaktu prosiding PAC semalam memberitahu tiada pengubahan pada laporan akhir 1MDB itu.

Berdasarkan kenyataan sumber itu, Ambrin memberitahu PAC bahawa apa yang didedahkan Madinah sebelum ini hanya pengubahan pada laporan draf bukannya laporan akhir.

Ketika diminta memberi komen tentang perkara tersebut, Madinah enggan memberi sebarang reaksi sebaliknya menyerahkan isu itu untuk siasatan sahaja.

Dalam pada itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pihaknya berpuas hati dengan keterangan saksi utama setakat ini namun enggan memberikan butiran perkara itu.

“Saya tidak boleh berikan butiran sama ada wujud penggubahan atau tidak.

“Kita akan panggil saksi seterusnya bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah, tetapi akan ada juga beberepa nama lain yang telah disenarai pendek untuk dipanggil bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran (BN) berkata, esok merupakan hari terakhir prosiding untuk tahun ini hanya akanisambung pada Januari depan. -MalaysiaGazette