Anggota bomba yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya awal pagi 27 Nov lalu mula memberikan respons dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi, menurut IJN. - foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Paru-paru kiri anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan manakala jantungnya berfungsi sendiri dengan baik, demikian menurut Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Pemuda berusia 24 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah selepas dipukul semasa kekecohan di sebuah kuil di Subang Jaya minggu lepas.

IJN berkata Muhammad Adib menunjukkan perkembangan yang baik sejak sistem sokongan hayatnya ditukar kepada sistem Veno-Venous ECMO pada 2 Dis lalu.

“Beliau semakin kurang memerlukan sokongan oksigen dan ventilator sejak malam tadi. Beliau boleh menerima makanan menerusi tiub naso-gastric yang menyalurkan 90 peratus keperluan hariannya,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun IJN berkata buah pinggang Muhammad Adib masih memerlukan sokongan mesin dialisis sekalipun parameter darah renal sudah bertambah baik.

“Beliau kini menjalani rehabilitasi pulmonari dan senaman anggota badan dengan ahli fisioterapi kami,” katanya.

IJN berkata Muhammad Adib dan kedua ibu bapanya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan galakan termasuk doa agar beliau sembuh.

Dilaporkan Muhammad Adib dipukul oleh sekumpulan individu ketika terlibat dalam kerja memadam kebakaran berhampiran kuil itu pada 27 Nov lalu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast