KUALA LUMPUR- Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) menjangkakan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS)- China bakal memberikan impak positif kepada Malaysia.
Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh persatuan itu, 50 peratus daripada ahlinya yang menyertai kaji selidik tersebut percaya jualan eksport bakal mencatatkan pertumbuhan dua digit.
Malaysia pula akan terus berkembang sebagai hab pengeluaran peralatan perubatan dengan lebih 200 syarikat beroperasi dalam satu ekosistem yang bersaling hubung dengan bauk.
Berdasarkan analisis oleh AMMI, eksport peralatan perubatan dari Malaysia dijangka melebihi nilai RM23 bilion (AS$5.5 bilion) tahun depan dengan jangkaan pertumbuhan sebanyak lapan peratus berbanding 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, industri peralatan perubatan akan terus menyaksikan pelaburan dan perkembangan baharu oleh pemain industri sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Trend tersebut dijangka kekal untuk tempoh beberapa tahun akan datang kerana para pelabur menunjukkan keyakinan tinggi terhadap masa hadapan industri berkenaan.
“Malaysia akan terus berkembang sebaga hab pengeluaran peralatan perubatan di Asia dengan kebanyakan syarikat utama di dalam negara ini mengeluaran produk eksport.
Industri akan terus berkembang dan terkehadapan dari segi pengeluaran ubat-ubatan, imej diagnostik, ortopedik dan prostetik serta dalam sub-sektor peralatan perubatan dan bantuan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
AMMI hari ini mengeluarkan Laporan Status dan Tinjauan Masa Hadapan Industri Peralatan Perubatan 2018/2019 bersandar kepada kaji selidik yang melibatkan 46 ahli AMMI.
Laporan berkenaan mengandungi analisis komprehensif terhadap pernilaian keseluruah eksport, sumber bahan mentah dan komponen, pertumbuhan pelaburan keseluruhan dan cabaran yang dihadapi oleh industri selain tinjauan masa hadapan industri pada tahun 2019.- MalaysiaGazette