Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Gertakan Lynas Corporation Ltd. (Lynas) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan berikutan arahan membuang sisa buangan syarikat itu ke luar negara sedia dihadapi oleh kerajaan.

Malah Menteri Hal Ehwal Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, arahan itu kekal atau syarikat nadir bumi itu akan berdepan dengan risiko kehilangan pembaharuan permit untuk beroperasi pada September 2019.

Kata Bee Yin, sudah menjadi hak mutlak kerajaan jika tidak mahu memperbaharui lesen Lynas mengikut peruntukan undang-undang negara.

“Mereka mahu saman? Silakan. Kami sebenarnya bersedia untuk bertemu mereka di mahkamah. Apa salah kita sehingga hendak saman? Adakah kerana kita ikut undang-undang bukan buat sesuka hati.

“Kita bersedia untuk apa jua kemungkinan, jika hendak melaksanakan undanmeg-undang untuk dan demi kepentingan rakyat, kita sememangnya bersedia untuk semuanya.

“Saya juga telah menghubungi Peguam Negara berhubung isu ini, kita sedia untuk semuanya kerana semua yang kita lakukan adalah mengikut landasan peruntukan undang-undang.

“Lynas jangan ajar kita tentang undang-undang dan bagaimana untuk kita aplikasikan undang-undang oleh negara kita,” tegasnya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Semalam, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa Lynas Malaysia berhenti tindakan membuli penduduk setempat dan mematuhi undang-undang dengan membuang sisa buangan tersebut.

Bee Yin juga memberi amaran kepada Lynas untuk sentiasa ingat  janji yang telah dibuat untuk menghapuskan sisa buangan dari Malaysia, yang kini merangkumi lebih 450,000 tan metrik sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP).

Jelas lagi, pemindahan sisa syarikat itu perlu dilakukan selepas isu WLP yang selama ini tidak dibangkitkan oleh Lynas terbongkar dalam laporan terperinci Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

“Langsung tidak ada penyelesaian jangka pendek dalam isu, ianya perkara serius. Bayangkan jika berlaku banjir besar di kawasan itu, siapa pula jamin keselamatan rakyat ketika itu?

“Lynas boleh terus mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan sisa berkenaan tetapi pada masa yang sama, sila selesaikan masalah sisa ini atau akan membawa risiko yang lebih tinggi kepada masyarakat sekitar,” tegasnya. –MalaysiaGazette