Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Port Dickson (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibahaskan kewajaran kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Mohamad Ariff, beliau terpaksa menolak usul tersebut berikutan tidak ada ‘kepentingan’ untuk berbahas tentang isu ICERD itu ketika ini..

“Saya menolak ikut aturan 18, ketika ini tidak ada sebarang keperluan untuk membahaskan kerajaan telah menolak ratifikasi ICERD. Tidak ada keperluan ‘segera’ dalam perkara.

“Maka saya sekali lagi, setelah mempertimbangkan kepentingan usul itu dan bercakap dengan beberapa pihak, masih bertegas dengan keputusan menolak usul yang dibawa ini,” katanya sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, usul itu telah dikemukakan olehnya kerana membincangkan mengapa kerajaan telah menolak ratifikasi ICERD kerana mahu umum mengetahui dengan mendalam.

Anwar melahirkan rasa bimbang kerana menurutnya ada juga suara-suara dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri mahu tahu mengapa kerajaan bertindak menolak ICERD.

“Saya faham dan hormati keputusan penolakan itu tetapi ada juga resah kononnya kita ‘halalkan’ diskriminasi. Itu bukan betul dan kita sebenarnya mempunyai perlembagaan yang menjadi tonggak keadilan kepada semua.

“Saya mohon supaya usul ini dibincangkan supaya boleh memberi pemahaman yang mendalam berkaitan supaya kereshan itu kita dapat redakan. Saya faham pagi tadi Speaker telah menolak usul saya tetapi tidak terlambat jika diberi pertimbangan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff masih bertegas dan menolak usul membincangkan penolakan ratifikasi ICERD oleh kerajaan baru-baru ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast