Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor hari ini memberi amaran kepada individu yang cuba campur tangan dalam kedudukan Menteri Besar negeri itu.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Tunku Ismail Sultan Iskandar berkata, sekarang bukan tahun 1992 lagi dan negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah.

“Anda bukan Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi mempunyai MB yang akan menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi untuk salah satu exco kami untuk menjadi MB. Kami tahu. Ini bukan lagi pada tahun 1992 kawan. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” kata Tunku Ismail.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang mahu Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menjelaskan mengapa penwartaan Taman Negara Pulau Kukup telah ditarik balik dan diubah kepada tanah Kesultanan.

Kadir berkata, Osman mesti menjelaskan kepada rakyat yang memilihnya apa yang telah berlaku pada Pulau Kukup.

Menurut anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, jika Menteri Besar Johor gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan kepada rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan sejak tujuh bulan lalu, maka beliau perlu melepaskan jawatannya.

Kadir berkata demikian menerusi blognya.

Semalam, DUN Johor meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Johor untuk mengambil maklum dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian, mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya dan ia pulau hutan bakau kedua terbesar di dunia dan salah satu tapak Ramsar di Malaysia.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga telah menyampaikan perkenan baginda agar Pulau Kukup di Pontian, kekal sebagai Taman Negara Johor.

Hasrat baginda itu dinyatakan melalui sepucuk surat kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor bertarikh 5 Disember lalu.

Bernama hari ini melaporkan Kerajaan Negeri Johor akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahad ini. – MalaysiaGazette