Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menambah 10,000 tiket lagi untuk dijual secara dalam talian bagi aksi final Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Vietnam pada Selasa depan selepas 20,000 tiket yang diperuntukkan habis dijual pagi ini.

FAM menerusi laman Facebooknya berkata kesemua tiket yang diperuntukan habis dijual dalam masa singkat selepas sahaja www.tickethotline.com.my memulakan jualan setengah jam lebih awal untuk menguji sistem daripada waktu sepatutnya pukul 9 pagi ini.

Lantaran itu, FAM mengambil pendekatan menambah jumlah tiket dalam talian daripada 20,000 keping kepada 30,000 keping dengan baki 10,000 itu akan dijual secara dalam talian bermula pukul 9 pagi esok.

Seterusnya baki 40,000 tiket fizikal akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula Ahad ini.

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada Rabu manakala Vietnam mara ke final selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-2 ke atas Filipina pada Khamis.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Dis, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Dis ini.

— BERNAMA