KUALA LUMPUR – Menutup Himpunan Ummah Bantah ICERD yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini, UMNO dan Pas mendoakan agar dipendekkan umur kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah kini.
Doa dibacakan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh tatkala hujan renyai membasahi Dataran Merdeka.
“Ya Allah, pendekkanlah umur kerajaan pakatan harapan ini, ya Allah,” doa beliau sambil diaminkan oleh peserta himpunan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu turut mendoakan agar Allah memberikan hidayah kepada pengundi-pengundi muda supaya insaf dan kembali ke pangkah jalan dengan menolak PH.
“Jadikanlah anak-anak muda yang memberi undi kepad PH supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
“Jadikan mereka juga yang akan menjatuhkan kerajaan yang mereka pilih (semasa PRU14 lalu),” katanya lagi.
Himpunan 812 yang dijadikan berakhir jam 6 petang terpaksa dihentikan sejam awal kerana hujan renyai. -MalaysiaGazette