Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bercakap pada sidang media selepas merasmikan Seminar Reformasi Parlimen di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Persepsi institusi Parlimen sejak sekian lama adalah tidak lebih daripada ‘tempat berkelahi’ dan  ‘cop getah’ (rubber stamp) kerana meluluskan segala macam agenda yang dibawa oleh parti pemerintah dalam Parlimen ketika itu perlu diubah.

Malah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, tidak ada sebarang reformasi Parlimen yang dilakukan secara besar-besaran.

Buktinya, Akta Majlis Parlimen (Kuasa dan Keistimewaan) 1952 tidak pernah dipinda manakala Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan pada 1992.

Begitu luahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mengambil `mandat menerajui Dewan Rakyat sejak empat bulan lepas.

“Saya masih lagi baharu. Malah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) baru mula menerajui tidak sampai setahun. Kita sangat komited dalam membawa pembaharuan atau reformasi Parlimen ketika ini.

“Persepsi rata-rata adalah satu sahaja, Parlimen adalah tempat orang berkelahi, ‘rubber stamp’ kerana semua agenda yang dibawa oleh parti pemerintah sebelum ini akan mendapat kelulusan kerana sebelum ini mereka menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.

“Sememangnya saya tidak berpuas hati ketika ini. Lagi-lagi apabila melihat cara wakil rakyat kita berdebat, menggunakan bahasa tidak sopan, tingkah laku mereka yang ada segelintirnya tiada kesantunan bahasa.

“Kita sedang maju ke hadapan ketika ini, saya mahu melihat institusi Parlimen kita berada di peringkat yang lebih tinggi setaraf dengan antarabangsa, berwibawa dan memiliki integriti paling tinggi.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penggunaan bahasa yang lebih beradab dan memiliki kesantunan tinggi, tidak boleh bercakap kasar, memartabatkan bahasa dan sebagainya. Cara orang Asia berbahas.

“Kerajaan telah berjaya mengawal perjalanan Parlimen setelah mengadakan beberapa perubahan Peraturan Mesyuarat di Dewan Rakyat sejak 9 Mei lepas malah ‘Janji 16’ dalam Buku Harapan telah mengisytiharkan komitmen mengembalikan wibawa institusi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Reformasi Parlimen yang turut dianjur bersama oleh Institut Darul Ehsan (IDE) di Parlimen sebentar tadi.

Bagaimanapun kata Mohamad Ariff, ketika ini pihaknya sedang giat dalam melakukan reformasi Parlimen dengan pelbagai agenda sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agenda reformasi Parlimen, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus dibawah Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Lim Kit Siang, Program Pendidikan Parlimen, siri syahrahan serta dan beberapa lagi perancangan.

“Kita juga sudah wujudkan satu aplikasi telefon pintar berkaitan Parlimen yang boleh diakses oleh semua pihak buat kali pertama. Anda boleh akses aktiviti dan semua yang berlaku di Parlimen untuk tatapan anda,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff memberi pujian kepada bekas Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Mulia yang telah memulakan agenda transformasi Parlimen dengan beberapa pindaan positif terhadap Peraturan Mesyuarat ketika itu. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast