Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ditangguhkan atas sebab-sebab keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ini kerana sambutan hari tersebut serentak dengan Himpunan Ummah bagi menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Disebabkan itu, polis mencadang dan menasihatkan penganjur tidak mengadakan sambutan itu pada hari ini.

“Suhakam menerima nasihat kami atas sebab-sebab keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas Majlis Berkhatan Perdana PDRM 2018, di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, pihaknya akan menangguhkan sambuatan acara itu pada hari Ahad.

Sebelum itu, beliau memberitahu, tarikh sambutan itu dipilih pada hari ini selepas ditetapkan oleh Pejabat Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan merasmikannya. – MalaysiaGazette