KUALA LUMPUR – Debaran perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini pada 11 Disember ini, semakin terasa apabila 40,000 tiket yang dijual dalam talian, habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 30,000 tiket telah pun habis terjual menerusi laman sesawang;www.tickethotline.com.my semalam, manakala baki 10,000 tiket yang dijual hari ini, telah habis terjual tadi.

FAM memaklumkan baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal esok di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di Kaunter Tiket Pintu A & Pintu E di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang (atau sehingga tiket habis), dengan setiap penyokong hanya boleh membeli maksimum lima tiket.

FAM berkata, peminat boleh juga mendapatkan tiket perlawanan di beberapa cawangan Al-Ikhsan Sports terpilih dan mereka boleh merujuk laman facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Badan induk bola sepak negara itu turut memaklumkan peminat tempatan yang hadir menyaksikan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, pada 5 Disember lepas, boleh membeli tiket aksi final pertama di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kaunter tiket khas di Wisma FAM ini hanya dibuka sehari pada Ahad ini dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang, menurut FAM.

Peminat yang membuat pembelian tiket berkenaan bagaimanapun perlu membawa kad pengenalan (MyKad) dan bukti pembelian iaitu keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok atau bukti slip pembayaran tiket berkenaan.

“Jika ia telah hilang, sila bawa Pasport Malaysia anda sebagai bukti keluar masuk ke Thailand untuk ke perlawanan tempoh hari,” kata FAM.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka yang berharga RM40 sekeping.

Vietnam pula menempah tiket ke final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir yang menggunakan format timbal balik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast