Sebahagian daripada ribuan peserta yang hadir pada perhimpunan 'Kesyukuran' meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Himpunan 812 membantah cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semalam, mencatat sejarah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, himpunan aman rakyat itu menjadi medan yang menyatukan umat Islam dan bangsa Melayu tanpa politik kepartian secara langsung.

Katanya, lebih 500,000 hadir pada perhimpunan perpaduan ummah menolak ratifikasi ICERD.

“Perhimpunan 812 ini jelas menunjukkan orang Melayu yang terkenal dengan lemah lembut dan toleransi yang tinggi membuktikan mereka tidak boleh berkompromi walau seinci pun jika hak mereka dicabar.

“Pihak yang selama ini sedang merancang segala bentuk cubaan dengan kuasa yang mereka ada hari ini terhadap orang Islam Melayu di bumi Tanah Melayu ini harus mengambilkira isyarat dan amaran yang ratusan ribu rakyat mahu sampaikan.

“Pesanan dan amaran ini harus sampai kepada kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kebangkitan itu bakal berterusan sehingga DAP yang terkenal dengan sikap chauvinis dan memperalatkan beberapa kerat Melayu dalam pentadbiran PH hari ini yang telah memecah-belahkan perpaduan kaum, menghormati umat Melayu Islam.

“Bila tiba soal hak dan keistimewaan orang Melayu, tidak ada perkara dan isu untuk kami tidak bersatu. Bila tiba soal agama Islam, tidak ada satu sebab untuk kami tidak bersatu demi meletakkan Islam pada tempatnya.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat dan pejuang agama nangsa yang turun dan bersama suarakan hak kita.

“Semalam adalah permulaan kepada kebangkitan bangsa Melayu. Jangan dijolok sarang tebuan. Jangan kejutkan harimau yang sedang tidur. Jangan sesekali menguji tahap kesabaran orang Melayu,” tegasnya. – MalaysiaGazette